APRIL 2025

Gedong Bakal Menjadi Pusat Pembangunan Industri Algae – Premier Sarawak


KUCHING, 18 April 2025 – Daerah Gedong bakal muncul sebagai pusat pembangunan baharu dalam industri bioteknologi berasaskan penanaman algae hasil kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan syarikat dari Jepun.

Perkara tersebut diumumkan oleh Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong 2025 yang berlangsung di Raia Hotel, Kuching. Beliau hadir bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.

Menurut beliau, projek ini berpotensi membuka lembaran baharu dalam sektor ekonomi tempatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya generasi muda di Gedong. Tambah beliau lagi, pakar-pakar dari Jepun telah mula hadir ke Gedong bagi memulakan pemindahan ilmu dan teknologi, seterusnya membimbing anak-anak tempatan untuk turut menjadi pakar dalam bidang berkenaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah memberi manfaat besar kepada anak-anak muda Sarawak. Kehadiran pakar dari Jepun ke Gedong akan membolehkan pemindahan pengetahuan dan kemahiran, sekali gus memberi ruang kepada anak tempatan untuk turut menjadi pakar dalam bidang ini pada masa hadapan,” ujar beliau.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, Yang Berhormat Dato’ Haji Idris bin Haji Buang, Yang Berbahagia Dato Sri Mohd. Naroden bin Majais dan Yang Berhormat Cik Rodiyah Sapiee.

Dalam ucapannya, Premier Sarawak turut mengajak rakyat tempatan, terutamanya penduduk Gedong, agar merebut peluang besar ini dan bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.